Sunday, April 3, 2011

Report School Based Project

1.0 PENGENALAN

Pengajaran dan pembelajaran Matematik perlu memberi peluang kepada semua murid untuk mengalami pembelajaran yang seronok, bermakna, berguna dan mencabar. Bagi tujuan ini, penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran dan latihan perlu berperingkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman serta minat murid. Pertimbangan juga perlu diberi kepada gaya pembelajaran yang berbeza di kalangan murid. Pembelajaran berpusatkan murid digunakan secara meluas untuk menjadikan pengalaman matematik yang menyeronokkan, bermakna, berguna dan mencabar.

Sehubungan itu, pengajaran dan pembelajaran matematik KBSR perlu dirancang dan dikendalikan dengan lebih efektif bagi mewujudkan pengalaman, keseronokan dan cabaran kepada murid. Pengalaman, kebolehan, minat, daya dan gaya murid yang berbeza perlu diambilkira dan diberi perhatian kerana ia akan menyumbang kepada kecenderungan murid terhadap subjek matematik. Di samping itu guru juga perlu mewujudkan suatu suasana persekitaran bilik darjah yang kondusif supaya ini akan menarik minat murid dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian yang lebih baik dalam mata pelajaran matematik. Ramai yang tidak sedar bahawa terdapat hubungan langsung di antara pemikiran matematik dengan kehidupan seharian. Setiap pemikiran akan melibatkan proses memberi sebab dan alasan terhadap sesuatu keputusan atau tindakan. Begitu juga dengan matematik, setiap pemikiran memerlukan pentafsiran secara logik dan perlu disokong oleh sebab dan alasan yang munasabah.

Situasi permasalahan harian tidak hanya melibatkan angka-angka bulat malahan situasi dalam kehidupan seharian ada yang melibatkan data. Di sinilah titik permulaan kajian ini yang berlatar belakang kepada penerokaan pemikiran konsep perwakilan data di kalangan murid-murid sekolah rendah. Dalam konsep perwakilan data ianya memerlukan murid mempunyai daya kefahaman yang tinggi terhadap sesuatu maklumat yang diberi. Kefahaman ini hanya boleh dibina oleh murid melalui aktiviti manipulatif yang memberikan peluang kepada mereka untuk meneroka pemahaman tentang konsep data. Ramai di kalangan murid tidak dapat membuat pentafsiran yang betul terhadap konsep pemahaman tentang data kerana mereka kurang didedahkan dengan latihan manipulatif. Terdapat beberapa alat bantuan mengajar yang boleh digunakan oleh guru untuk menyampaikan konsep perwakilan data seperti contoh lukisan, jadual, carta bar dan carta palang. Sehubungan dengan itu, kajian ini ingin menerokai pemikiran murid terhadap konsep data dan cara mereka mengumpul data mentah dan mempersembahkannya dengan menggunakan daya kreativiti murid itu sendiri serta melihat bagaimana murid mempersembahkan data tersebut kepada bentuk yang paling mudah untuk difahami dan bentuk paling mudah untuk ditafsirkan.

Secara umumnya, tujuan kajian ini adalah untuk memberi kepentingan kepada guru untuk melihat bagaimana murid menerokai pemahaman konsep tentang data, dan bagaimana cara mereka mengumpul maklumat atau data. Kajian ini juga dapat melihat bagaimana murid menggunakan kreativiti mereka untuk mempersembahkan data daripada maklumat yang mereka telah perolehi dengan menggunakan bahan-bahan yang diberikan. Kajian ini juga memberi pendedahan kepada murid untuk menerokai konsep pemahaman tentang data dengan aktiviti disediakan yang diharapkan boleh dikuasai oleh murid secara menyeluruh semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Secara amnya, objektif kajian yang akan dijalankan adalah seperti berikut :

i. Untuk mengkaji sejauh mana murid dapat memahami konsep data.

ii. Untuk memberi peluang serta melihat sejauh mana murid boleh mengumpul data dan mempamerkan data yang dikumpul dalam bentuk yang mudah difahami.

iii. Untuk melihat kreativiti murid apabila mereka diberi peluang untuk mempersembahkan data.

iv. Untuk membolehkan guru membuat penambahbaikan terhadap pendekatan yang digunakan bagi mengajar tajuk perwakilan data.

Secara khususnya, kajian ini akan cuba menjawab soalan-soalan yang berikut iaitu :

i. Sejauh manakah murid-murid faham dengan apa itu ‘data’?

ii. Bagaimana murid mengumpul data atau maklumat berdasarkan kepada tajuk kecil yang dipilih?

iii. Bagaimana murid mempersembahkan data daripada maklumat yang mereka perolehi?

2.0 TINJAUAN LITERATUR

Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan berhubung dengan pembelajaran Statistik bagi kanak-kanak di peringkat sekolah rendah. Maka dengan demikian, bab ini akan membincangkan kajian terhadap pemikiran murid yang telah dilakukan oleh hasil kajian tempatan dan luar negeri. Pengetahuan terhadap konsep perwakilan data adalah kesinambungan daripada perkembangan pengetahuan konsep nombor terutama nombor bulat. Komponen ini sangat penting kerana murid perlu menjelajah semua idea asas tentang statistik dengan mengumpul data yang berbentuk nombor (Albert B. Bennett, Jr. L. Ted Nelson).

Menurut NCTM Standard 10 (2000), standard pembelajaran statistik bagi gred 5-8 adalah semua murid sepatutnya memahami bagaimana cara untuk menyusun data daripada carta atau graf dan membaca maklumat daripada data yang dipersembahkan. Konsep ini seharusnya diketengahkan ke gred pertengahan di mana data dikumpul dan disusun supaya pembelajaran menjadi lebih menarik. Fokus terhadap kajian ini adalah untuk menerokai pemikiran murid terhadap konsep data dan sejauh mana murid dapat mengumpul maklumat atau data berdasarkan kepada tajuk-tajuk kecil yang diberikan kepada mereka. Dan juga bagaimana murid dapat mempersembahkan data atau maklumat yang mereka telah perolehi menggunakan kreativiti mereka sendiri.

Dalam sebuah kajian tentang kreativiti dalam matematik (Haylock, 1997), kanak-kanak yang berumur 11-12 tahun dinilai tentang kemampuan mereka untuk mengatasi keseronokan dan untuk menghasilkan tanggapan yang tepat tapi berbeza dalam pelbagai tugasan matematik. Ia menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan tahap yang sama dalam hal pencapaian matematik konvensional dapat menunjukkan secara signifikan tahap kreativiti matematik mereka. Didapati bahawa semakin tinggi tahap pencapaian, semakin mungkin bahawa itu adalah sebagai petunjuk untuk membezakan tahap kreativiti matematik. Kanak-kanak tinggi pencapaian dengan kreativiti matematik yang tinggi dibezakan dari kanak-kanak tinggi pencapaian dengan kreativiti rendah oleh beberapa ciri-ciri : mereka mempunyai tahap kebimbangan yang jauh lebih rendah dan mempunyai konsep diri yang lebih tinggi, mereka mempunyai kecenderungan dalam memproses maklumat dan mereka lebih berani mengambil risiko dalam menyelesaikan kerja matematik. Satu Implikasinya adalah kanak-kanak mungkin akan lebih cenderung berfikir secara lebih kreatif jika mereka belajar matematik dalam konteks di mana mereka digalakkan untuk mengambil risiko.

Haylock (2010) menyatakan bahawa terdapat banyak faedah yang diperolehi oleh kanak-kanak di sekolah rendah dalam menyediakan mereka dengan pengalaman jelas proses pemodelan matematik. Hal ini juga telah dibuktikan dalam kajian English (2004) dan English dan Watters (2005). English membuat pemerhatian terhadap kanak-kanak sekolah rendah yang bekerjasama dalam masalah autentik yang boleh dimodelkan dengan matematik. Dia mengenalpasti sejumlah aspek penting dalam proses pembelajaran yang berlangsung, baik matematik mahupun sosial. Ini termasuk : menafsirkan dan menafsirkan semula maklumat yang diberikan; membuat keputusan yang sesuai; yang mengesahkan alasan, membuat hipotesis, dan menyatakan hujah. English dan Watter (2005:59) menggariskan penemuan yang sama dengan pelajar yang lebih muda dan membuat kesimpulan dari bukti-bukti kajian dalam bidang ini bahawa 'sekolah rendah adalah persekitaran pendidikan di mana semua kanak-kanak harus memulakan perkembangan yang bermakna dari pemodelan matematik'.

Kajian mengenai penerokaan murid terhadap konsep perwakilan data dapat meningkatkan kefahaman mereka bagaimana sesuatu data yang lengkap itu terhasil. Berdasarkan kajian dan pengalaman dengan kanak-kanak sekolah rendah selama setahun, Jones et al. (2000) telah membangunkan rangka kerja yang berguna untuk menggambarkan pemikiran statistik kanak-kanak. Rangka ini menggambarkan empat proses iaitu : (1)mendeskripsikan data, yang melibatkan pemerolehan maklumat dari satu set data atau grafik dan membuat hubungan antara data dan konteks dari mana ia datang; (2) menetapkan dan mengurangkan data, yang meliputi tempahan, pengelompokan dan meringkaskan data, (3) merupakan data, yang merujuk kepada membina pelbagai bentuk perwakilan data secara visual, dan (4) menganalisis dan mentafsir data, yang melibatkan mengenali pola-pola dan membuat kesimpulan dan ramalan. Untuk setiap dari keempat-empat aspek, para penyelidik mampu mengenalpasti empat tahap pemikiran : Tahap 1, di mana hujah yang istimewa, sering berkaitan dengan data yang diberikan dan cenderung untuk menarik lebih banyak pengalaman dan pendapat individu itu sendiri; Tahap 2, di mana kanak-kanak mulai menggunakan hujah kuantitatif untuk mengulas data, Tahap 3, di mana hujah kuantitatif digunakan secara konsisten untuk merumuskan penilaian, dan Tahap 4, yang menggunakan pendekatan yang lebih analitis dalam menjelajah data dan dalam membuat hubungan antara data dan konteksnya. Rangka kerja ini adalah alat yang berguna baik bagi penilaian pemahaman kanak-kanak dan untuk menyediakan rancangan pengajaran.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

Bahagian ini akan membincangkan metodologi kajian yang digunakan semasa penyelidikan. Perbincangan dalam bab ini meliputi rekabentuk kajian, populasi dan sampel kajian, instrumen kajian dan prosedur pengumpulan maklumat. Kajian ini menggunakan rekabentuk kualitatif bagi mencapai objektif kajian. Kajian dilakukan ke atas pelajar-pelajar Tahun 6 di sebuah sekolah di daerah Kuala Kangsar. Bilangan populasi bagi kajian ini adalah seramai 88 orang pelajar. Manakala jumlah sampel yang digunakan oleh pengkaji dalam kajian ini adalah seramai 25 orang pelajar dan mereka terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 6. Sampel ini adalah murid yang berada di bawah pengajaran pengkaji dan ini memudahkan interaksi serta pentadbiran pengkaji dengan sampel kajian semasa kajian ini dilaksanakan.

Bagi menjawab persoalan kajian, instrumen yang digunakan ialah soal selidik (menemubual murid), aktiviti yang melibatkan murid dan melalui lukisan murid (pemahaman mereka tentang perwakilan data) untuk tajuk perwakilan data ini. Soal selidik digunakan untuk menentukan sejauh manakah murid dapat menggunakan idea dan kreativiti mereka untuk membina jadual, graf atau rajah bagi mewakilkan data mentah yang diperolehi. Data kajian dipersembahkan dalam temubual serta interaksi secara langsung yang dirakam menggunakan temubual. Temubual secara langsung ini akan diteliti dan pengkaji akan membuat kesimpulan tentang sejauh mana murid dapat menyampaikan justifikasi mereka terhadap konsep perwakilan data dengan menggunakan kreativiti mereka sendiri. Melalui aktiviti pula, ia dijalankan dengan melibatkan murid sama ada berbentuk permainan ataupun aktiviti dalam kumpulan. Murid dikehendaki mencari maklumat mengikut tajuk yang dipilih oleh mereka sendiri dan mereka perlu melukis di atas kertas yang disediakan cara maklumat itu dipersembahkan. Instrumen yang terakhir iaitu melalui lukisan pula, pengkaji dapat melihat bagaimana murid mempersembahkan data mentah mengikut kreativiti mereka kepada bentuk yang lebih mudah difahami sama ada bentuk graf, jadual atau sebagainya.

Bagi melancarkan kajian ini, beberapa langkah yang perlu diikuti oleh penyelidik iaitu menyediakan kertas cadangan sebagai langkah pertama. Seterusnya langkah yang kedua penyelidik akan membuat pembacaan yang meluas mengenai tajuk kajian yang dibuat. Langkah seterusnya ialah penyelidik akan menjalankan kajian sebenar di Sekolah Kebangsaan Raja Muda Musa, Kuala Kangsar. Langkah terakhir ialah menulis laporan hasil kajian yang telah dibuat.

4.0 DAPATAN KAJIAN

Bahagian ini membincangkan tentang dapatan yang telah diperolehi hasil daripada kajian yang telah dijalankan bagi menjawab persoalan kajian. Dalam kajian yang telah dijalankan terhadap 25 orang sampel, didapati bahawa terdapat persamaan dan perbezaan idea di antara pendapat dan hasil kerja responden. Berikut adalah dapatan kajian yang telah dijalankan terhadap responden tersebut :

4.1 Sejauh manakah murid-murid faham dengan apa itu ‘data’?

Untuk menjawab persoalan ini, pengkaji mendapati setiap pelajar mempunyai pandangan dan pendapat yang tersendiri mengikut pemahaman mereka tentang data. Berikut adalah pendapat dan pandangan yang telah dihuraikan oleh pelajar tentang apa yang mereka faham mengenai ‘apa yang dimaksudkan dengan data’.

Kumpulan 1 :

Kumpulan ini menyatakan bahawa ‘data’ ialah :

  • Maklumat yang dikumpul
  • Maklumat yang dipersembahkan
  • Memudahkan untuk dibaca dan,
  • Boleh dijadikan dalam bentuk peratus dan purata.

Kumpulan 2 :

Kumpulan ini pula menyatakan bahawa ‘data’ ialah :

  • Maklumat untuk mencari
  • Maklumat yang dinyatakan
  • Maklumat yang memudahkan kerja penyelesaian dan,
  • Maklumat yang memberi jalan pengiraan

Kumpulan 3 :

Kumpulan ini pula menyatakan bahawa ‘data’ ialah :

  • Maklumat yang telah dikumpul
  • Maklumat yang diberikan untuk dijadikan purata atau untuk dijadikan jumlah
  • Untuk memudahkan orang untuk membaca dan,
  • Menyampaikan maklumat dengan lebih mudah.

Kumpulan 4 :

Pelajar ini pula menyatakan bahawa ‘data’ ialah :

  • Memudahkan kerja dan,
  • Carta pai dan carta bar

Kumpulan 5 :

Pelajar ini pula menyatakan bahawa ‘data’ ialah :

  • Maklumat dalam bentuk gambar, perkataan. Kegunaan data adalah untuk memudahkan kita membaca data yang berbentuk perkataan dan,
  • Contoh data :
  • Carta pai
  • Carta bar

Kumpulan 6 :

Pelajar ini pula menyatakan bahawa ‘data’ ialah :

  • Tentang maklumat
  • Maklumat pula dipersembahkan dalam pelbagai bentuk antaranya ialah carta pai dan carta palang.

4.2 Bagaimana murid mengumpul data atau maklumat berdasarkan kepada tajuk kecil yang dipilih?

Untuk menjawab persoalan kajian yang kedua ini, pelajar memilih sendiri tajuk dengan dipersetujui oleh pengkaji. Mereka menjalankan aktiviti secara berkumpulan dan mereka diberi peluang membuat perbincangan mencari data tetapi cara mengumpul data dan persembahan data adalah berbeza. Pengkaji mendapati hasil dapatan daripada kajian adalah seperti berikut :

Kumpulan 1 :

Kumpulan ini memilih tajuk kecil kajian iaitu ‘Bilangan murid yang datang lewat ke sekolah’. Kumpulan ini mengumpul data dengan menyenaraikan nama pelajar yang datang lewat dari hari Isnin hingga Jumaat. Kemudian data ini dijumlahkan mengikut hari persekolahan.

Kumpulan 2 :

Dalam sampel kumpulan ini pula, tajuk kecil kajian yang diperolehi ialah data tentang ‘Cara murid Tahun 6 Hikmah datang ke sekolah’. Kumpulan ini mengumpul data dengan menyenaraikan cara murid yang berkenaan datang ke sekolah kepada beberapa kategori iaitu berjalan kaki, menunggang basikal, menunggang motosikal, menaiki kereta/van dan. menaiki bas. Berdasarkan senarai yang telah ditetapkan itu, kumpulan ini mencari bilangan murid mengikut kategori tersebut.

Kumpulan 3 :

Kumpulan ini memilih tajuk kecil kajian iaitu ‘Bilangan murid dalam setiap kelas Tahun 6’. Mereka menyenaraikan nama-nama kelas dan setiap kelas dikategorikan mengikut jantina. Akhirnya mereka menyenaraikan bilangan murid bagi setiap kelas berdasarkan kategori lelaki dan perempuan.

Kumpulan 4 :

Bagi kumpulan ini, tajuk kecil yang mereka pilih ialah ‘Jenis kenderaan yang digunakan oleh guru untuk datang ke sekolah”. Data dikumpul melalui pemerhatian dan juga melalui temubual dengan menyenaraikan jenis kenderaan yang digunakan oleh guru untuk datang ke sekolah. Kemudian mereka mengkategorikan jenis kenderaan kepada beberapa bahagian iaitu jenis Perodua, Proton, Toyota, Nissan, Kia/Naza dan Honda. Berdasarkan kategori tersebut, mereka mendapatkan jumlah kenderaan mengikut kategori yang telah ditetapkan.

Kumpulan 5 :

Kumpulan ini pula memilih tajuk kecil kajian iaitu ‘Taburan umur guru di sekolah’. Kumpulan ini mengumpul data dengan menyenaraikan semua nama guru di sekolah dan mendapatkan umur mereka melalui temubual. Kemudian, kumpulan ini mengelaskan umur guru dengan bilangannya sekali kepada kategori tertentu iaitu :

· Umur 21 – 25 tahun = 1 orang

· Umur 26 – 30 tahun = 6 orang

· Umur 31 – 35 tahun = 10 orang

· Umur 36 – 40 tahun = 11 orang

· Umur 41 – 45 tahun = 9 orang

· Umur 46 – 50 tahun = 12 orang

· Umur 51 – 55 tahun = 5 orang

Berdasarkan kepada kategori umur ini pelajar mendapatkan bilangan guru yang terlibat bagi setiap kategori.

Kumpulan 6 :

Bagi kumpulan ini pula, tajuk kecil kajian yang dipilih ialah ‘Bilangan adik beradik bagi setiap murid dalam kelas Tahun 6 Hikmah’. Kumpulan ini mengumpul data dengan menyenaraikan nama semua murid dalam kelas tersebut dan mendapatkan maklumat tentang bilangan adik-beradik mereka. Kemudian, kumpulan ini mengelaskan umur kepada beberapa kategori umur dengan bilangan sekali iaitu :

· Adik beradik 1-3 orang = 7 orang

· Adik beradik 4-6 orang = 23 orang

· Adik beradik 7-9 orang = 2 orang

· Adik beradik 10-12 orang = tiada

Pelajar ini juga menyenaraikan nama pelajar dalam kelas tersebut mengikut kategori umur yang telah ditetapkan.

4.3 Bagaimana murid mempersembahkan data daripada maklumat yang mereka perolehi?

Untuk menjawab persoalan kajian yang ketiga ini, pengkaji telah meneliti hasil kerja setiap kumpulan yang dipamerkan melalui lukisan. Hasil dapatan daripada kajian mendapati bahawa pelajar telah mempamerkan dan mempersembahkan data dengan cara mereka mengikut kreativiti dan idea mereka tersendiri seperti dalam lampiran. Di sini, pengkaji hanya menghuraikan secara ringkas apa yang telah pelajar pamerkan. Di antaranya ialah :

Kumpulan 1 :

Kumpulan ini mempersembahkan data yang telah diperolehi dengan menggunakan Carta Palang Menegak.

Kumpulan 2 :

Kumpulan ini pula mempamerkan data dengan menggunakan Carta Pai. Walaupun ukurannya nampak agak tidak seimbang, tetapi kumpulan dapat berfikir dengan cara yang agak kreatif untuk menampakkan kelainan berbanding dengan sampel yang lain.

Kumpulan 3 :

Kumpulan ini mempamerkan data dengan menggunakan Carta Palang Berkembar kerana ia melibatkan jantina bagi setiap kelas.

Kumpulan 4 :

Kumpulan ini pula memaparkan data yang mereka perolehi dengan menggunakan Piktograf.

Kumpulan 5 :

Kumpulan yang terakhir juga menggunakan Carta Palang dalam mempamerkan data mereka.

Kumpulan 6 :

Pelajar ini mempamerkan data dalam bentuk Carta Palang Menegak seperti kumpulan yang pertama.

5.0 PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

Mata pelajaran statistik dimasukkan ke dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kerana pakar pendidikan merasakan ilmu statistik ini perlu diajar di peringkat kanak-kanak lagi supaya pada peringkat ini mereka akan mendapat pendedahan awal bagaimana untuk mengumpul, memproses dan menganalisis data. Di Malaysia, ilmu statistik telah mula diajar sejak sekolah rendah bermula pada Tahun 3 melalui topik ‘Pengumpulan data’. Ini kerana telah menjadi Dasar Pendidikan Negara yang berobjektifkan untuk menyediakan modal insan yang mampu berdaya saing dan berdikari serta menepati keperluan dan kehendak pasaran di masa hadapan. Ini dapat memperbetulkan salah tanggapan di kalangan umum yang menyatakan bahawa statistik hanya perlu dipelajarai oleh individu yang menjurus kepada bidang sains tulen sahaja. Sedangkan statistik itu merangkumi seluruh aspek kehidupan kita sama seperti ilmu matematik yang tidak boleh dipisahkan dari sistem kehidupan. Bahkan ada ahli falsafah yang menyatakan bahawa matematik adalah statistik dan statistik adalah matematik. Walau bagaimanapun, kerangka statistik yang hendak dibangunkan perlu menekan kaedah pembelajaran. Pertamanya, konsep pembelajaran tersebut tidak perlu obses dengan nombor dan simbol seperti …. x , s , ยต, s2 …… Bahkan murid ini tidak perlu tahu yang mereka sedang mempelajari statistik, mereka hanya tahu bahawa mereka sedang mengumpulkan dan mengelaskan data dalam situasi yang sangat menyeronokkan dan kemudian pembangunan statistik dalam diri mereka boleh dipanjangkan kepada proses membuat perwakilan dan menganalisis pula. Selain itu konsep pembelajaran sambil bermain juga sangat efektif dalam mendalami ilmu statistik ini. Contohnya, murid diberi 3 jenis kertas yang berlainan kualiti dan berat. Kemudiannya, kertas ini akan dilipat menjadi kapal terbang kertas dan diterbangkan. Murid akan mengambil data mengenai tahap kelajuan dan jauh kertas tersebut terbang. Cara pembelajaran sambil bermain ini pastinya akan menarik minat murid dan seterusnya minat ini boleh kita kembangkan sebagai landasan di masa hadapan. Selain itu, dewasa ini terdapat pelbagai web, perisian dan klip video seperti di ‘you tube’ yang boleh digunakan sebagai medium pengembangan pemikiran statistik kanak-kanak.

Dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa murid mempunyai pemahaman yang tersendiri tentang data. Ada yang berpendapat bahawa data itu ada satu gambar rajah dan ada juga yang menyatakan bahawa data itu ialah maklumat yang diwakili dengan carta atau jadual. Ini menunjukkan bahawa murid ini cuba mentafsirkan makna data itu sendiri dengan memberi pelbagai andaian. Ada juga menyatakan data itu sendiri boleh dipersembahkan dalam bentuk pokok, kotak, bunga dan macam-macam lagi. Melalui lukisan guru dapat menilai sejauh mana murid- murid ini faham tentang data.

Namun data ialah maklumat berangka yang memberikan gambaran tentang sesuatu peristiwa yang telah berlaku serta dapat memberi ramalan tentang peristiwa akan datang. Data juga membantu manusia membuat keputusan yang melibatkan masalah harian. Guru dapat melihat bagaimana murid-murid ini memberi reaksi yang sebenar apabila mereka diberi peluang untuk mengumpul, mengendali dan mempersembahkan data berdasarkan pengalaman mereka sama ada dalam kelas atau pengetahuan am mereka tentang statistik. Berdasarkan kepada hasil kajian dan dapatan oleh guru mendapati bahawa murid ini mempunyai idea yang agak sama dengan murid lain, cuma beberapa orang murid yang mempunyai idea yang agak kreatif dan bernas.

Murid-murid ini diberikan peluang untuk membuat aktiviti secara berkumpulan dengan setiap kumpulan memilih tajuk kecil tentang pengumpulan data. Aktiviti ini dijalankan adalah untuk membantu mereka belajar bagaimana untuk mengumpul data dan maklumat serta melihat kreativiti mereka dalam mempersembahkan data yang dikumpul ke dalam bentuk yang lebih difahami. Aktiviti ini juga dilakukan untuk melihat bagaimana murid ini dapat berinteraksi dengan ahli kumpulan masing-masing semasa proses pengumpulan dan mempamerkan data. Ini dapat meningkatkan lagi kefahaman mereka tentang statistik dengan idea yang berbeza. Dalam mempersembahkan data pula, murid diberi kebebasan untuk mengikut idea mereka sendiri dan bagaimana cara untuk data itu dipersembahkan.

Dalam sesi temubual dengan murid, guru dapat melihat bagaimana murid membuat rumusan terhadap maklumat yang diperolehi, bagaiman mereka menerangkan secara terperinci tentang data yang dikumpul dan mengapa mereka mempersembahkan data dengan cara tersebut. Dengan penuh keyakinan murid-murid ini memberi alasan bahawa data yang mereka persembahakan adalah untuk memudahkan sesiapa sahaja yang membacanya. Ini menunjukkan bahawa murid boleh membuat rumusan daripada aktiviti yang telah dijalankan. Melalui aktiviti ini juga didapati bahawa murid ini dapat mengaplikasikan penggunaan data dalam kehidupan seharian mereka, kerana semua data yang mereka perolehi adalah berada di sekeliling mereka dan mereka hanya perlu mengumpul dan mengelaskan data-data tersebut. Kesimpulannya, kajian ini medapati murid mempunyai idea tersendiri dalam proses pengumpulan data, mengelaskannya dan cara mereka persembahkannya. Pendedahan awal kepada mereka tentang statistik dapat membantu murid-murid ini untuk menerokai kehidupan mereka dan menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan.

6.0 CADANGAN

Dalam menyiapkan kerja projek ini, murid telah diagihkan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 4 atau 5 orang. Dengan kumpulan-kumpulan kecil ini adalah diharapkan mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan. Walau bagaimanamapun, pengkaji mendapati terdapat ahli di dalam kumpulan yang tidak mahu bekerjasama dengan ahli kumpulan tersebut. Ini menunjukkan bahawa terdapat ketidakserasian di antara ahli-ahli dalam kumpulan tersebut. Ini menjadikan aktiviti yang dijalankan tidak begitu bermakna. Pada pendapat pengkaji, di masa akan datang pengkaji harus bijak menentukan ahli dalam setiap kumpulan supaya terdapat keserasian yang mana ia menyumbang kepada aktiviti yang lebih bermakna.

Selain daripada itu, semasa membuat pengumpulan, pengelasan dan mempersembahkan data, terdapat juga murid yang melakukan kesilapan kerana data yang mereka kumpul tidak menjawab persoalan yang timbul. Oleh itu, pengkaji mengesyorkan supaya penambahbaikan dapat dibuat di dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam tajuk statistik terutama yang melibatkan kehidupan seharian murid. Untuk itu, guru disarankan suapaya menggunakan alat bantu mengajar yang lebih menarik seperti carta, jadual, gambar rajah atau melukis. Penerangan melalui video juga boleh membantu murid untuk melihat bagaimana proses dalam pembelajaran statistik di samping aktiviti yang melibatkan murid itu sendiri. Ini akan memberi lebih kefahaman kepada murid-murid tentang konsep statistik.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment